SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU-GURU DI MALAYSIA

21 January 2014

GURU LEBIH STRESS

RAMAI yang pasti terkejut apabila mengetahui hasil kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat.

Malah kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat ke lima. "Kedudukan guru sebelum askar agak mengejutkan. Ini menunjukkan seorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas atau melakukan aktiviti sukan dan sebagai. Jadi tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan," kata Pengarah Urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata.

Didorong perkembangan itu beliau berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan pusat rawatan fisioterapi, pihaknya telah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan guru di sekolah-sekolah seluruh negara. Katanya, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stres dan kesakitan anggota badan semasa bertugas.

"Matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa rawatan terbaik dalam penyelesaian kesihatan terutamanya berkaitan stres dalam pekerjaan ialah melalui fisioterapi," katanya.
Beliau mengakui, kekangan masa bagi mereka yang bekerja untuk bersenam atau melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Ini ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi sama ada ketika di tempat kerja mahupun di rumah. "Fisioterapi adalah salah satu rawatan atau kaedah yang boleh dilakukan oleh semua orang dalam menghadapi tekanan dalam kerja.

"Secara umumnya fisioterapi merupakan kaedah rawatan penyakit atau kecederaan melalui penyembuhan semula jadi badan. Kaedah ini tidak menyakitkan dan tiada ubat digunakan, ia lebih kepada proses pemulihan dan pencegahan," katanya. Dalam pada itu program pertama latihan fisioterapi di sekolah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini membabitkan 135 guru dan kakitangan sekolah. Pengetuanya, Siti Endon Mohamad Dahlan berpendapat program itu baik dalam membantu guru-guru dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka.

"Rawatan ini adalah mudah dan boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat terutama yang bekerja. Sedikit sebanyak ia membantu melahirkan kualiti kerja yang bermutu," katanya. Melalui program tersebut, guru-guru telah didedahkan secara teori dan praktikal daripada aspek fisioterapi oleh kakitangan Great Life Physio and Rehabilation dengan kerjasama pelajar Masterskill.

Sesi ceramah telah diberikan oleh Pakar Fisioterapi Great Life Physio and Rehabilation, Siti Fazilah Jamaluddin, yang menerangkan beberapa aspek mengenai stres yang boleh mengakibatkan seperti pening, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, mengganggu mutu kerja dan juga boleh berlaku serangan jantung serta obesiti.
Selain itu, tanda-tanda stres boleh dikenal pasti menerusi degupan jantung yang laju, ketegangan otot, proses pernafasan menjadi cepat, berpeluh dan terasa perut kurang selesa, loya dan cirit. Fazilah menjelaskan antara faktornya adalah disebabkan penat, kurang tidur, postur badan ketika bekerja, bebanan kerja, suasana tempat kerja, skop kerja dan sebagainya. Malah beliau berharap supaya masyarakat menerima rawatan fisioterapi ini sebagai satu alternatif perubatan dalam kehidupan.

* Artikel ini diambil daripada http://smk-bukitgading.blogspot.com